Pilihanraya Kecil Terlampau .. siri 1

oleh : Ustaz Nasrudin Tantawi

Pilihanraya Kecil Terlampau .. siri 1

1. Pengalaman saya menyertai pilihanraya umum dan juga pilihanraya kecil sejak 1985 yang lalu , rasanya inilah kali pertama [ prk Bagan Pinang ] saya menyaksikan sebuah pilihanraya yang paling kotor dan cemar . Ianya dikotori oleh aksi ganas dan dicemari oleh provokasi yang melampau .
2. Saya biasa mendengar cerita orang – orang veteran parti bagaimana pergaduhan sering tercetus antara PAS dan UMNO apabila melibatkan musim pilihanraya . Namun ianya tidaklah menghairankan saya kerana pendidikan politik pada waktu itu tidaklah seperti hari ini .
3. Sungguh menyedihkan apabila university tumbuh seperti cendawan selepas hujan , graduan pula merata di seluruh negara dan negara telah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad tetapi tahap berpolitik masih ditakuk lama iaitu menggunakan hujjah kekuatan bukan kekuatan hujjah .

4. Saya mengharapkan selepas ini PAS dapat melakukan sesuatu setelah sekian lama berpengalaman menyertai pilihanraya .
5. Bertindak ke atas UMNO dan BN agar mereka merubah cara dan gaya pendekatan mereka , tentunya sukar kerana PAS tidak mempunyai hak ke atas parti mereka . Namun nasihat dan harapan terus dihulurkan agar mereka juga mampu melakukan sesuatu yang lebih positif ke arah menyediakan medan berpolitik yang tenang , aman , sejahtera dan harmoni .
6. Saya mahu tumpukan kepada PAS agar selepas ini , PAS berusaha lebih keras untuk menyediakan satu suasana politik yang matang , berhemah dan hikmah serentak itu mendorong wujudnya satu keadaan yang aman , sejahtera dan harmoni .
7. Mengelak diri dari terpengaruh dengan provokasi musuh adalah jauh lebih sukar dari menahan diri agar tidak mencetus provokasi . Maka inilah antara yang perlu PAS beri tumpuan . Biarpun berbuih mulut pimpinan PAS memberi nasihat kepada ahli agar jangan terpengaruh dengan provokasi UMNO dan BN , ternyata masih ramai ahli yang sukar mengawal perasaan dan keadaan lalu bertindak balas dan mencetus insiden yang tidak diingini .
8. Terutama apabila berdepan dengan provokasi melampau dari UMNO dan BN . Hati menjadi panas , jiwa tersinggung , mulut menjawab akhirnya tangan dan kaki bertindak . Tidak mudah untuk bertahan dan bersabar berdepan maki hamun dan balingan batu yang mencederakan .
9. Pun begitu saya masih mengkagumi sebahagian besar ahli PAS yang mampu mematuhi arahan pimpinan agar segera meredakan ketegangan tatkala ia tercetus . Jelas terbayang di wajah mereka kesukaran menahan rasa , namun mereka berundur apabila di arah berundur , yang saya kira mereka ini jugalah orang yang sanggup mara apabila di suruh mara ke hadapan .
10. Hakikatnya , suasana politik aman , tenang , selamat , sejahtera dan harmoni ini tidak akan tercapai tanpa kematangan dari kedua – dua belah pihak dalam membawa pendekatan politik . Pilihanraya kecil N . 31 Bagan Pinang boleh dijadikan bahan muhasabah [ post mortem ] bagi semua pihak ke arah mendepani suasana politik yang bijak dan hikmah di masa hadapan .
11. Terlebih wajar bagi PAS sebagai sebuah Gerakan Islam untuk melihat dari pelbagai sudut pendekatan yang telah diambil agar hadhirnya PAS ke tengah gelanggang politik tidak sekadar untuk memenangi kerusi pilihanraya tetapi membawa mesej perjuangan suci sekaligus menawan dan menambat hati seramai mungkin madu’u [ pengundi ] agar mereka menerima perjuangan suci yang kita dokong .
12. Wajah PAS sebagai sebuah Gerakan Islam sekali – kali tidak boleh dibiarkan pudar apalagi bertukar menjadi hanya sebuah parti politik yang memburu kuasa . PAS mesti kekal dengan wajah asalnya sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan manusia dari neraka Allah swt , menyelamatkan mereka dari perhambaan sesama hamba dan menolak ideologi ciptaan manusia .
13. Kemenangan tetap dicari dalam setiap piliharaya yang disertai demi melestarikan intipati perjuangan PAS dan mendaulatkannya , namun untuk menang bukan bermakna kita mesti memudarkan cahaya perjuangan Islam yang didokong dan tidak mengapa kalah asalkan PAS masih memelihara ketulenan perjuangannya . Sekali lagi saya tegaskan , PAS mesti berada di atas manhaj perjuangan Islam yang tulen dan mesti dilihat tulen dalam pengambilan manhajnya .
14. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemuda PAS yang bekerja keras untuk menawan kerusi DUN Bagan Pinang biar pun usaha tersebut gagal , demikian sokongan yang cukup baik dari AMK dan DAPsy . Kegagalan ini membuka ruang lebar untuk kita memperbaiki segala kelemahan dan membetulkan segala kesilapan . Tidak hina kita mengakui kelemahan dan kesilapan disamping kita terus membedah dan mendedahkan segala kelemahan , penyelewengan dan salah laku dalam pilihanraya yang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk PDRM .
15. Akhirnya , nasihat saya kepada UMNO dan BN supaya mereka segera menjauhi teknik dan taktik provokasi serta ganas dalam pendekatan pilihanraya mereka . Usahlah menggunakan gengster untuk berhadapan dengan PAS semata – mata mahu memenangi kerusi pilihanraya . Pergaduhan seperti ini tidak menguntungkan sesiapa apalagi kita ummat Islam . Kerana menang dengan kekerasan adalah menang yang tidak bermoral sementara kalah kerana ditindas dan dianiaya adalah kalah bergaya .

Posted on October 13, 2009, in Uncategorized and tagged , , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: