Pecah Amanah : Pas P.Pinang desak ambil tindakan

Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang hari ini menyaman Yayasan Bumiputra Pulau Pinang (YBPP) dan lapan yang lain kerana mendakwa tanah seluas 283.28 hektar milik YBPP telah dipindah milik sehingga menyebabkan kerugian lebih RM100 juta.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa mengemukakan tuntutan tersebut bagi pihak orang Melayu di negeri ini yang terpinggir akibat kecuaian YBPP dan defendan lain menjalankan tanggungjawab membela nasib mereka.
Turut mengemukakan saman tersebut adalah Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff serta 32 individu lain.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan V. M. Mohan, Fareed & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.Kesemua mereka selaku pihak plaintif menamakan YBPP; Tenagas (M) Sdn. Bhd. (Tenagas) dan Kumpulan Pinang Hartanah Sdn. Bhd. (KPHSB) yang dahulunya dikenali sebagai Fasa Klasik Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pengarah ketiga-tiga syarikat itu, Datuk Syed Mohamad Syed Mustaza; Pengarah YBPP, Datuk Hassan Mat Noor; Pengarah Tenagas, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Pengarah KPHSB, Anuar Othman pula dinamakan sebagai defendan keempat hingga ketujuh.
Dua lagi syarikat iaitu Bandar Kepala Batas Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Business Term (M) Sdn. Bhd.) dan anak syarikat Tenagas, Kumpulan Pinang Properties Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Renown Focus Sdn. Bhd.) turut disenaraikan sebagai defendan kelapan dan kesembilan.

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif menyatakan, YBPP telah ditubuhkan untuk mengurus dan meningkatkan ekonomi orang Melayu di negeri ini. Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah memberi sejumlah peruntukan bagi pembelian hartanah di Seberang Perai Utara (SPU) bernilai RM137 juta.
Bagaimanapun, dakwa plaintif, defendan keempat hingga ketujuh telah mengakibatkan KPHSB dan Kumpulan Pinang Properties menandatangani perjanjian usaha sama dengan syarikat bukan bumiputera, Hunza Propeties Berhad (Hunza) untuk memajukan hartanah tersebut.

Plaintif mendakwa, pemindahan hakmilik hartanah itu menyebabkan Hunza menjadi pemegang saham majoriti dengan memiliki 70 peratus saham manakala YBPP yang mempunyai 30 peratus saham menjadi pemegang saham minoriti.
Dakwa mereka, kesemua hartanah yang sepatutnya dibangunkan untuk memulih dan menjana ekonomi orang Melayu telah dimajukan oleh Hunza dengan membina rumah dan lot kedai dengan harga yang melebihi kemampuan orang Melayu.
Selain itu, pemindahmilikan hartanah itu didakwa bertentangan dengan objektif penubuhan YBPP yang memberi kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi orang Melayu.

Plaintif turut mendakwa, tindak-tanduk defendan keempat hingga ketujuh sama ada secara bersama atau berasingan serta tidak dilakukan secara terbuka telah menyebabkan semua orang Melayu di negeri ini mengalami kerugian lebih RM100 juta.
Dengan itu, pihak plaintif memohon perisytiharan bahawa perjanjian usahasama dan urusan pindah milik antara defendan ketiga, kelapan dan kesembilan itu batal serta tidak sah.

Pihak plaintif juga memohon perisytiharan bahawa defendan keempat hingga kelapan telah pecah amanah, selain mahkamah mengeluarkan perintah agar mereka memindah milik semula hartanah itu kepada defendan ketiga dan kesembilan.
Mereka juga memohon injunksi menghalang defendan kelapan memindah milik atau melupuskan mana-mana bahagian hartanah tersebut yang masih didaftarkan atas nama syarikat itu sehingga perintah selanjutnya.
Turut dimohon adalah ganti rugi taksiran, ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif serta relif lain yang difikirkan adil oleh mahkamah daripada defendan keempat hingga kelapan.

Posted on November 29, 2010, in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: