PAS Pulau Pinang Arah Hentikan Sementara Konvoi Motorsikal

(Menjelang pilihan raya perarakan seperti ini melahirkan provokasi)

PULAU PINANG: “Hentikan serta merta aktiviti konvoi oleh Pemuda PAS bagi mengelak provokasi pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian pada 5 Mei ini,” kata Pemangku Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang, Bukhori Ghazali.

Katanya, larangan berkonvoi bermatlamat memberikan penumpuan gerak kerja yang lebih bermanafaat memandangkan empat hari terakhir merupakan saat paling kritikal dan mudah dipergunakan oleh pihak BN untuk melancarkan provokasi.

Sebaliknya tambah beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri, semua jentera wajar menumpukan pada aktiviti bertemu pengundi seramai mungkin.

Kesilapan di saat akhir ujarnya, merugikan parti serta menjejaskan matlamat memenangi Pilihanraya Umum ke 13 serta mendaki tangga ke Putrajaya.

“Kita kena ikut apa yang pemimpin kata sebab ia berpandangan jauh. Mereka lebih tahu apa yang boleh dan tidak,” tegasnya.

Justeru itu, semua Majlis Tindakan Dun, PAS Kawasan,  Cawangan dan Unit Peti Undi (UPU) wajar memantau supaya perbuatan tersebut tidak berlaku.

Apapun konvoi selepas 6 Mei jika ditakdirkan Pakatan Rakyat menang akan dibincang  dan dimaklumkan kemudian.

Posted on May 1, 2013, in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a comment