Kenyataan Media : Menjawab Fitnah Jabatan Amal Pukul Che’gu Bard

unit amal bersih

Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjawab tuduhan dan fitnah kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang dan pasukan Jabatan Amal Negeri Pulau Pinang, yang sehingga hari ini pihak kami belum menerima apa-apa permohonan maaf dan bukti atas tuduhan tersebut oleh pihak berkenaan. Pihak kami mendiamkan diri selama ini kerana tidak mahu menyerang peribadi Calon Pakatan Rakyat berkenaan dan mengelak isu ini menjadi senjata UMNO/BN menyerang Pakatan Rakyat. Namun oleh sebab media UMNO/BN sedang memainkan isu ini untuk menyerang dan memecah belah muafakat Pakatan Rakyat khususnya kredibiliti dan kewibawaan PAS dan pasukan Unit Amal, maka pihak kami terpaksa mengeluarkan kenyataan ini.

Berhubung tuduhan calon PKR di DUN Sungai Acheh, Badrul Hisyam Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’ GuBard bahawa beliau dan anak isteri beliau telah diserang dan pukul oleh Pemuda PAS dan  anggota Unit Amal Pemuda PAS Pulau Pinang pada pagi 20 April 2013 di hadapan tempat penamaan calon Parlimen Nibong Tebal, di Facebook dan Twitter sejak petang 20 April 2013 seperti gambar yang dilampirkan dalam kenyataan ini, dan juga dalam Ceramahnya pada sebelah malam 20 April 2013 bertempat di Kampung Dato’ Keramat, Nibong Tebal seperti dalam rakaman yang telah dimuatnaik oleh penduduk DUN Sungai Acheh di youtube : http://www.youtube.com/watch?v=sfRshQVe-_c

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Hasil siasatan dan penelitian yang dibuat, pihak kami mendapati :

  1. Tiada kejadian pukul atau serangan ke atas tubuh beliau seperti yang didakwa.
  2. Tiada kejadian tolak atau serangan kepada anak dan isteri beliau seperti yang didakwa. Anak dan isteri beliau tiada dalam perarakan penyokong calon.
  3. Pada hari dan waktu yang didakwa, Calon PAS DUN Sungai Acheh bersama-sama penyokong sudahpun tiba pada pukul 7.20 pagi di tempat penamaan calon terlebih dahulu dan memenuhi ruang hadapan di sebelah kiri pintu masuk, iaitu ruang yang disediakan untuk penyokong Pakatan Rakyat.
  4. Petugas keselamatan PAS berada di bahagian luar dan mengelilingi kumpulan penyokong Calon PAS bagi mengelak dan mengawal provokasi dan tindakan luar kawalan di kalangan penyokong-penyokong mahupun mereka yang hadir di lokasi terbabit.
  5. Calon PKR DUN Sungai Acheh bersama-sama Calon PKR di DUN Sungai Bakap dan Parlimen Nibong Tebal dan para penyokong mereka tiba di tempat penamaan calon pada pukul 8.40 pagi. Mereka datang dan berarak ke arah belakang penyokong Calon PAS.
  6. Berlaku sedikit provokasi bila rombongan perarakan penyokong Calon PKR cuba merempuh kumpulan penyokong Calon PAS walaupun diminta bersabar, sedangkan pada waktu itu pagar tempat penamaan calon belum dibuka. Petugas Keselamatan PAS juga ketika itu sedang mengarah penyokong Calon PAS mengambil ruang sebelah kiri untuk memberi laluan kepada kumpulan penyokong PKR berkumpul di sebelah kanan.
  7. Walau bagaimanapun, sementara menunggu penyokong Calon PAS bergerak ke ruang sebelah kiri, Petugas Keselamatan PAS memberi laluan kepada ketiga-tiga Calon PKR tersebut bersama-sama pencadang dan penyokong (penamaan calon) masing-masing  bergerak ke hadapan untuk memasuki tempat Penamaan Calon kerana tidak mahu mereka lewat memasuki tempat penamaan calon. Petugas Keselamatan juga membantu dengan membuka ruang jalan di tengah-tengah kumpulan penyokong Calon PAS kerana mahu melancarkan pergerakan mereka utk masuk ke tempat penamaan calon.
  8. Pada waktu ini, pasukan keselamatan (Polis) juga berada di sekeliling dan memerhati. Jika berlaku kekasaran, sudah tentu mereka akan bertindak dan menangkap individu berkenaan.

Dewan Pemuda PAS Negeri berasa amat kesal dengan tuduhan tersebut yang jelas berniat untuk menyerang dan memburukkan Pemuda PAS Pulau Pinang khususnya ketika pertembungan 3 penjuru antara beliau dengan Calon PAS dan Calon BN. Ketika pertembungan ini berlaku, calon PAS iaitu Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan pasukan kempen beliau tidak pernah sekalipun menyerang dan memburukan Calon PKR di DUN Sungai Acheh kerana menghormati semangat setiakawan Pakatan Rakyat dan mematuhi etika akhlak berkempen yang telah digariskan oleh Islam dan PAS.

Dewan Pemuda PAS Negeri juga menuntut supaya Calon PKR DUN Sungai Acheh :

  1. Mengemukakan bukti atas tuduhan beliau, anak dan isteri beliau telah dipukul oleh Pemuda PAS dan Anggota Unit Amal Pemuda PAS Pulau Pinang di hadapan tempat Penamaan Calon seperti yang didakwa dan membuat laporan polis.
  2. Jika gagal mengemukakan bukti, memohon maaf secara terbuka dan mengakui bahawa beliau telah membuat tuduhan yang tidak benar terhadap Pemuda PAS Pulau Pinang dan anggota Unit Amal Pulau Pinang.

Sekian,

Norazman Ishak

Norazman bin Ishak

Pemangku Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang

Merangkap Pengarah Jabatan Amal Pulau Pinang.

CheGu Bard Dakwa Dipukul Unit Amal


Kenyataan Che Gu’Bard di Facebook pada tengahari hari Penamaan Calon

SAMM Dakwa Che Bard Dipukul


Screenshot dari Page N21 Sg Acheh, Page Calon PKR di Sungai Acheh Che Gu’Bard, 21 April 2013

Posted on April 27, 2013, in Uncategorized and tagged , . Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a comment