Utusan Jahil Tentang Hudud Terus Mengelirukan Rakyat Malaysia
Utusan masih jahil tentang hukuman Hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk ” Polemik Hukum Hudud PAS ” menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan berkenaan hudud.
Demikian tegas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Dato’ Harun Taib ketika diminta mengulas berkenaan salah satu artikel yang disiarkan baru-baru ini oleh Utusan yang bertajuk ” Polemik Hukum Hudud PAS”.
“Fakta-fakta yang dikemukakan oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan apa yang diusahakan oleh kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah” ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir Terenganu.
Tambah beliau lagi, pengarang artikel juga turut juga sudah tersasar daripada perbincangan ilmiah apabila cuba mengelirukan pembaca dan mencampuradukkan di antara perbincangan berkenaan manifesto dan enakmen.
Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri Besar Terenganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau jahil tentang perbahasan para ulamak.
“Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah. Sebagai contoh, jelasnya kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.
Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang dikemukakan oleh PAS , adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang membangkitkan isu ini.
Jelasnya lagi, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman tetapi ia akan dikenakan hukum takzir.
“Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.
Menurut beliau pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.
Sebelum ini Dewan Ulamak telah memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.
“Enakmen kelantan dan Terengganu jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut undang-undang mereka. Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud ” apabila mereka(orang yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka ( untuk membuat pilihan), sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya.”
Posted on November 4, 2012, in tarbiyyah and tagged hudud, ustaz harun taib, utusan malaysia. Bookmark the permalink. Leave a comment.
Leave a comment
Comments 0